Thursday, May 26, 2005

Menanti Papa

Hasil nukilan Najwa Aiman yang dipetik daripada blog aku:

Ina tertunduk lesu. Sudah kering air matanya kini. Tidak termampu lagi hendak diperahkan walau setitis. Matanya hampir terpejam kerana bengkak. Berat dirasakan sekeliling biji matanya. Pedih setiap kali kelopaknya tertutup.

Ditenungnya Azri yang masih leka bermain kapal terbang mainannya. Anak kecil itu tidak mengerti apa-apa. Tertiarap di permaidani sambil terus melayan imaginasi sendiri. Berdebur pelbagai bunyi dari mulutnya yang comel. Mungkin meniru bunyi desingan enjin kapal terbang yang membelah udara.

Perlahan-lahan rambut Azri diusap. Masih ada lagikah sisa air yang mampu diperah keluar dari matanya? Tergenang pun tidak. Lalu berhamburan keluhan di mulutnya. Ketika itulah Azri mendongak memandangnya.

"Papa masih kerja ya mama?" alunan suara kecil itu menerpa telinganya lalu membuai emosi yang sedia hanyut.

"Ya," jawab Ina lemah.

"Lama betullah papa ni kerja," rungut Azri. "Bila dia nak balik ya mama?"

Sungguhpun tiada lagi sisa air mata walau setitis, sendunya masih ada yang tinggal terbuku di hati. Dan sendu itulah yang mendesah keluar bersama nafasnya, sehingga dadanya sebu dengan sebak yang semakin mengetatkan dada. Tidak sanggup rasanya hendak menjawab pertanyaan si kecil yang masih tidak mengerti tentang hakikat kehidupan.

"Kalau papa tak balik macam mana?" Ina menguatkan semangatnya bertanya. Tidak pasti lagi apa jawapan si kecil. "Tak payahlah suruh papa balik."

"Kenapa?" Ina mengeluh hampa. Kenapa mesti papa si kecil ini tidak pulang? Bagaimana hendak menjelaskannya?

"Biarlah papa kerja," jawab Ina akhirnya, mengalah dengan emosi yang semakin berkecai. "Papa suka kerja, kan?"

"Tapi papa kerja lama sangat!" semakin tinggi pula suara Azri. Marah mula menyelinap dalam himpitan rasanya barangkali. "Papa tak rindukan Azri ke? Kenapa mama tak telefon papa suruh balik?"

Ina tidak berdaya menjawab pertanyaan itu. Bagaimana mungkin dapat dijelaskannya kepada si kecil? Bagaimana?

Pintu ruang tamu tiba-tiba dibuka orang dari luar. Fariz yang lengkap berkot dan bertali leher melangkah masuk sambil menjinjing beg kulit yang mahal. Bibir Ina mula mengukir senyum, tetapi hambar benar senyuman itu.

"Tengok tu Azri, siapa yang balik?" kata Ina sambil mencuit pipi Azri.

"Ina," sapa Fariz sambil tersenyum dan mengatur langkah menghampiri dua beranak yang masih santai di permaidani ruang tamu. "Tak bawa Azri ke taman hari ni?"

Ina bangun menyambut ketibaan Fariz. Beg kulit yang dipegang disambutnya. Baju kot yang baru ditanggalkan pun disambutnya. Berkerut wajah Fariz melihat mata Ina yang bengkak dan mukanya yang sembab.

"Kenapa lain macam saja hari ni sayang?" tanyanya. "Tak sihat ke?"

"Ya bang," balas Ina lemah. "Tu sebab tak pergi ke taman hari ni. Azri pun tak mau pergi ke taman."

"Dia leka main kapal terbang dia tu," duga Fariz. "Kan Azri?"

Fariz membongkok hendak menyentuh kepala budak itu, tetapi sepantas kilat pula tangan Azri menepis. Tersentak seketika Fariz sehingga berkerut mukanya.

"Kenapa dia marah ni?" tanya Fariz. "Tak suka dengan kapal terbang yang papa bagi tu?"

Azri tidak menjawab. Wajahnya mencuka. Seakan hendak terbalik lipatan bibirnya mencebikkan cemuhan. Lalu tubuh kecil itu bingkas bangun. Tatkala itu Fariz sekali lagi cuba menyentuh bahunya, tetapi sekali lagi juga Azri menepis tangan Fariz dengan keras. Kemudian Azri berlari pantas mendaki tangga lalu menghilang ke tingkat atas.

Berkerut dahi Fariz memandang perlakuan Azri. Beralih pula tenungannya ke arah Ina.

"Kenapa pula dia tu kali ni?" tanya Fariz. "Apa lagi yang dia hendak?"

Ina serba salah. Harus diulangkah permintaannya dahulu? Harus ditempuh lagikah kemarahan Fariz?

"Bang," ujar Ina lembut. "Dia rindukan papa dia bang. Tolonglah bagi dia..."

"Ina!" bentak Fariz, mematikan seluruhnya kata-kata yang baru hendak dituturkan Ina. "Jangan ulang lagi benda ni! Abang dah kata dari mula lagi, bukan? Abang takkan benarkan Azri atau Ina berjumpa lagi dengan si Salman tu! Biar kiamat sekali pun dunia ni! No! No way!"

Sambil mendengus Fariz beredar keras meninggalkan Ina melayan keresahannya sendirian.

No comments: