Tuesday, May 24, 2005

Asal-usulnya?

Kengkadang bila tak de benda nak dibuat, aku terfikirkan jugak benda2 buduh. Misalnya, macam mana kita tau camna cara tanak nasi? Camna kita tau cara semai padi? Siapa yang ajar ya? Adakah semuanya dari naluri semulajadi manusia yang sentiasa meneroka atas dasar ingin tahu? Atau mungkinkah penerokaan atas dasar mahu terus hidup? Mungkin kedua-duanya?

Dari mana asal perkataan "lepak"? Siapa yang menciptanya? Mungkinkah daripada anak-anak muda yang pada anggapan kita kutu jalanan yang mengganggu ketenteraman? Jika benar, mereka sebenarnya telah menyumbang sesuatu yang amat besar ertinya bagi perbendaharaan kata bahasa ibunda kita.

Bagaimana dengan perkataan "jambu"? Berasal dari nama sejenis buah, ia dipanjangkan untuk menjadi deskripsi seorang jantan yang cute dan menjadi rebutan jantan-jantan tak bertamadun yang lain.

Perkataan "cun" pula siapa yang menciptanya? Bagaimana pula ia diperluaskan? Berjaya mengambil-alih takhta perkataan "cantik", kini ia menjadi perkataan sejagat yang lebih tersohor dalam rumpun bangsa Melayu di Malaysia.

Pergi lebih jauh lagi dan kita menemui bidalan orang-orang tua yang bijaksana. Biar mati anak, jangan mati adat misalnya. Orang zaman kini pasti menganggap jelek sekali bidalan itu kerana sanggup membunuh zuriat demi memelihara adat. Namun kita zaman ini tidak mahu berfikir lebih panjang daripada itu. Keji benarkah tok nenek kita zaman dahulu sehingga lebih mementingkan adat daripada nyawa zuriatnya sendiri? Ibu bapa manakah yang sanggup membunuh anaknya sendiri?

Sedangkan sebenarnya kita gagal memaklumi bahawa "adat" yang dimaksudkan oleh tok nenek kita dahulu merujuk kepada apa yang sekarang kita sebut "undang-undang". Perkataan "undang-undang" itu sendiri masih baru sebenarnya, tetapi zaman dahulu tok nenek kita menyebut "adat". Itulah undang-undang mereka. Dan bidalan itu hanyalah bermaksud bahawa tiada siapa pun harus terlepas daripada undang-undang, walaupun anak kita sendiri. Sekiranya anak kita melakukan kesalahan yang hukumannya bunuh bila sabit kesalahan, maka haruslah undang-undang itu ditegakkan. Itulah pesan tok nenek kita. Biar mati anak, jangan mati adat.

Bagaimana pula dengan pantang larang seperti jangan memotong kuku pada waktu malam, nanti pendek umur? Benarkah tok nenek kita terlalu taksub dengan perkara-perkara mistik sehingga sanggup mengetepikan ketentuan ajal lalu meletakkan nasib kepada kuku? Pernahkah kita mengkaji bagaimana caranya tok nenek kita memotong kuku pada zaman dahulu? Mereka tiada pengetip kuku sebagaimana kita sekarang. Mereka tiada salon yang memberikan servis manicure. Mereka menggunakan parang panjang. Apa yang dipotong? Kuku! Di bawah sinaran lampu kalimantangkah? Sudah tentu tidak! Di bawah nyalaan obor mungkin, yang apinya berlenggang-lenggok sehingga melenggang-lenggokkan bayang-bayang juga. Cubalah kalian potong kuku kalian menggunakan parang di bawah sinaran pelita pada waktu malam gelap. Bukan sekadar kuku tangan, tetapi juga kaki! Ada brani???

Jangan disumpah dan dicerca tok nenek kita. Tanpa mereka, kita tidak mungkin ada. Tanpa pantang-larang dan bidalan mereka, masyarakat kita tidak dibentuk sebagaimana ada.

No comments: