Saturday, July 23, 2005

Syarikat kedekut ibarat 'lembu suci'

Berita Harian- 230705
PENYOKONG usul ekonomi, Ahmad Shabery Cheek melabelkan individu dan syarikat korporat yang diberi peluang oleh kerajaan tetapi enggan mengagihkan keuntungannya kepada Umno sebagai 'sacred cow' atau lembu suci.
Wakil Umno Terengganu itu berkata, golongan itu tidak ubah sebagai 'lembu suci' yang diberi makan bukan untuk mendapatkan hasil tetapi hanya mahu disembah dan dipuja.
"Individu dan syarikat yang digelar lembu suci ini mendapat saja apa mereka minta tetapi apa saja salah laku yang dibuat tiada tindakan diambil," katanya yang mendapat sorakan dan tepukan gemuruh perwakilan.
Dengan memberi contoh Penerbangan Malaysia (MAS) dan Renong Bhd, katanya, syarikat berkenaan dibantu dengan harapan mereka akan memulangkan keuntungan kepada orang Melayu dan membantu usahawan kecil.
Bagaimanapun, katanya satu demi satu syarikat dan individu yang diberi amanah itu memperlihatkan prestasi buruk. Beliau berkata, ketirisan sebenarnya berlaku di kalangan syarikat korporat yang ada modal berbilion-bilion ringgit bukannya di kalangan kontraktor kelas F.
Malah, katanya baru-baru ini, Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) menyifatkan projek penswastaan limbungan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut gagal walaupun mendapat kontrak terjamin bernilai RM25 bilion.
Ahmad Shabery turut menyentuh permit import (AP) dan meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz menjawab segala persoalan mengenai keistimewaan individu yang layak mendapatkannya.
"Kita mohon Kak Dah... bukannya hendak mempertikaikan kementerian beliau atau beliau sendiri tetapi menjadi harapan kita untuk mendengar jawapannya," katanya.
Ahmad Shabery yang juga Ahli Parlimen Kemaman turut menyatakan sokongan kepada presiden parti dalam tindakan berkaitan soal integriti. "Pak Lah bertindaklah, kami semua akan sokong... ini kerajaan Pak Lah bukan kerajaan lain kerajaan yang sudah diberi mandat... kerajaan Pak Lah kerajaan bumi bukan kerajaan langit,
"Kerajaan bumi mesti berpijak di alam nyata... kalau perlu buat rombakan kerajaan, rombaklah Pak Lah, kami semua akan sokong," katanya.

1 comment:

Shaff said...

Najib's comment was that if the Sacred Cow got Foot & Mouth disease, it can be sacrificed!