Wednesday, July 20, 2005

Akademi Fantasia

Terpanggil hendak menulis sedikit tentang Akademi Fantasia apabila rakan-rakan menyebut tentangnya dalam posting. Aku pun sebenarnya bukanlah peminat AF. Namun menontonnya pernah sekali-sekala apabila tak sengaja kerana kebetulan ketika itu aku berada di hadapan TV bersama famili.

Tetapi mungkin sebab aku tak berapa gemar menonton rancangan nyanyian seumpama itu (seperti juga Juara Lagu, Bintang RTM dan yang seumpama dengannya), maka aku takkan kekal lama di hadapan TV. Dan juga mungkin kerana itulah AF tidak menarik minat aku untuk diikuti.

Namun aku sedar betapa besarnya pengaruh AF terhadap masyarakat Malaysia amnya, dan orang Melayu khususnya. Aku pernah menonton AF3 di TV semasa ia diadakan di Putrajaya (dan bukan di Malawati seperti biasa) di mana ia dibuka kepada umum. Aku juga pernah terperangkap dalam kesesakan di PJ State tahun lepas semasa AF2 diadakan di Dewan Sivik. (Satu kejutan juga kepada aku sebenarnya kerana PJ State sebelum ini tidak pernah sesak sedemikian pada waktu malam). Sememangnya umat Melayu memang ramai yang menjadi fans kepada rancangan ini.

Aku juga sedar betapa banyaknya keuntungan yang telah dikaut oleh Ananda Krishnan melalui Maxis akibat dari AFUNDI. Ini mungkin melayakkan kakitangan mereka mendapat bonus yang melambung-lambung (sepatutnyalah!). Tidakkah ini bagus untuk mereka?

Aku juga sedar betapa ramai anak Melayu, dari pelbagai peringkat umur termasuk yang sudah tua, dapat disatukan bersama disebabkan oleh AF ini. Kalau dahulu sukar benar hendak mengumpulkan ahli keluarga dari pelbagai lapisan usia untuk duduk di hadapan TV pada masa yang sama, namun sekarang AF telah berjaya merapatkan jurang tersebut! Tidakkah ini bagus untuk mereka?

Aku juga sedar betapa lebih ramai anak watan sekarang yang sudah terbuka peluang untuk mereka berdikari dan membuat duit yang lumayan dengan menjadi artis rakaman, DJ radio bahkan MC majlis. Semua ini terhasil dari pendidikan mereka di Akademi Fantasia. Tidakkah ini bagus untuk mereka?

Aku juga sedar betapa peluang untuk menambah pendapatan juga telah terbuka kepada kakitangan pengajar di Akademi Fantasia itu sendiri (seperti Cikgu Adnan, Cikgu Siti Hajar dan lain-lain). Ini juga membuka peluang kepada mereka untuk menjadi lebih tersohor di mata masyarakat dan membuka peluang perniagaan untuk diri mereka sendiri pula (misalnya, Cikgu Yasmin - walaupun tidak tepat untuk mengatakan bahawa AF menjadi penyebab utama baginya membuka kelas tarian persendirian, tetapi AF secara tidak langsung telah membantu memperkenalkan dirinya dan mengangkat kredibilitinya untuk menjalankan perniagaan tersebut). Tidakkah ini bagus untuk mereka?

Justeru mungkin ada banyak lagi kebaikan yang boleh disenaraikan natijah dari AF ini.
Namun pandangan Pak Ungku juga tidak boleh diambil ringan. Walaupun benar AF melalaikan, tetapi AF bukan satu-satunya perkara yang melalaikan.

Tanpa AF pun sebelum ini kita sudah mampu dilalaikan dengan pelbagai benda lain. Kewujudan AF sekadar menambah faktor kelalaian tersebut. Tetapi di sebalik kelalaian yang diakibatkannya, ia juga menambah beberapa kebaikan seperti yang disebutkan di atas. Yang paling penting sudah tentulah kemampuan AF untuk menyatukan ahli keluarga untuk melakukan aktiviti bersama, dan juga berinteraksi secara lebih sihat (biasanya penonton akan saling memberi pandangan dan komen/kritikan tentang pelajar yang membuat persembahan - ini bagus sebagai aktiviti bertukar pendapat sesama ahli keluarga).

Apa-apa hal pun, aku percaya, setiap sesuatu itu akan jadi elok kalau dielokkan, dan akan buruk kalau diburukkan, melainkan ia telah dihukumkan buruk sejak awal lagi (misalnya, arak tetap buruk walaupun ia boleh digunakan sebagai painkiller).
Tetapi itu tidak bermakna kita harus melupakan terus akan keburukan yang diakibatkannya....

2 comments:

Pootz in Boots said...

Oi! apa ni Najwa Aiman jadik contributor kat sini plak ni? Saper invite and saper benarkan... Ahlil K-Oz ada 11 jer la..... mana leh ajak ornag lain or jadik orang lain? baik kau perbetulkan.....
AF? Aku fanatik AF tapi tak la sampai belanja ribu raban nak sokong diorang ni.... AF1 aku tak sokong sesaper sebab yang bagus bukan melayu jer... AF2 aku sokong Kaer jer.. AF3 memang aku die-hard fan si Mawi... melalaikan? Tak langsung.... apa apa saja pun kalau dah membuatkan kita tak solat, tak buat keje ofis, tak tunaikan tanggungjawab sbg ibu, isteri and anak... memang tak elok... tapi for me, dgn ada AF ni semakin ramai sahabat... geng2 lama pun ada contact.... tambah2 yang sama2 sokong Mawi... ish ish ish..... selalu buat gathering kat rumah sedara mara, adik beradik, date Saturday night 8.30 pm..... sebelum tu solat jemaah Maghrib and lepas habis tu solat Isya'... bukan bagus ker?
Tepuk dada tanya selera la beb.....

Lampin said...

aku yg masukkan sebenarnya...takpe la.... aku kuarkan dia.... obviously dia bawak lebih byk kemudaratan nampaknya....