Saturday, July 16, 2005

Projek limbungan TLDM gagal

Berita Harian 16 July 2005
Oleh Jalal Ali Abdul Rahim

LUMUT: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyifatkan projek penswastaan limbungan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada PSC-Naval Dockyard Sdn Bhd (PSC-ND), gagal dan mahu kerajaan mengambil alih pengurusannya.Pengerusinya, Datuk Shahrir Samad, berkata PAC mendapati pengurusan dan kepemimpinan PSC-ND amat lemah hingga menyebabkan projek pembinaan kapal peronda (PV) generasi baru TLDM bermasalah kerana beban hutang kepada kontraktor, pembekal dan vendor tempatan yang jumlahnya mencecah RM80 juta.Beliau berkata, kesimpulan itu dibuat selepas ahli PAC mendengar taklimat Unit Perancang Ekonomi (EPU) mengenai penswastaan Naval Dockyard Sdn Bhd (NDSB) pada harga RM300 juta sebelum dinamakan sebagai PSC-ND serta taklimat TLDM mengenai kesan selepas penswastaan itu dan pihak Kesatuan Sekerja PSC-ND.“TLDM tidak berpuas hati dengan khidmat diberikan limbungan selepas penswastaan manakala kesatuan sekerja mengakui penswastaan tidak mencapai matlamat.“Hasil taklimat ketiga-tiga pihak, PAC membuat kesimpulan penswastaan limbungan ini gagal. Kita meminta kepada Kementerian Kewangan, EPU dan Kementerian Pertahanan melihat kepada pilihan yang ada pada kerajaan untuk menamatkan penswastaan ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mengetuai sekumpulan ahli PAC mendengar taklimat dan melawat limbungan itu, semalam.Ahli PAC lain yang bersamanya termasuk Timbalan Pengerusi PAC, Dr Tan Seng Giaw, Datuk Liow Tiong Lai dan M Kulasegaran.PSC-ND diberi kontrak bagi membina 27 PV dengan pesanan pertama enam kapal bernilai RM5.4 bilion. Bagaimanapun, PVI dan PV2 yang sepatutnya diserahkan tahun lalu, belum dapat digunakan TLDM kerana masalah teknikal.Shahrir berkata, pilihan yang PAC mahu kerajaan lihat adalah:l Mengkaji berapakah kos diperlukan kerajaan untuk mengambil alih limbungan itu berdasarkan formula perjanjian penswastaan.l Menetapkan satu badan bebas bagi menyiasat dan membuat penilaian keadaan limbungan sepanjang diswastakan.l Penyelesaian kepada syarikat PSC-ND, melalui pemegang saham mereka dan kerajaan mempunyai saham dan boleh menstabilkan keadaan dan menguruskannya dengan cara baik.PAC juga mahu kerajaan menyiasat kes itu dan mendakwa jika berlaku penyelewengan.“Kita sudah arahkan kerajaan jika ada kes jenayah seperti pecah amanah dan penyelewengan, kami mahu pihak kerajaan tidak bertolak ansur,” katanya.Ditanya punca kegagalan penswastaan limbungan itu, Shahrir berkata: “Sikap tamak, kelemahan pengurusan dan kepimpinan atasan syarikat.”Beliau berkata, projek itu berdaya maju jika pengurusan baik dan berhemah kerana mereka diberi jaminan projek antara RM100 dan RM110 juta setiap tahun.“Saya rasa kegagalannya kerana sifat tamak. Bila dia (syarikat baru) dah bayar RM300 juta, dia sudah dijanjikan kontrak RM5 bilion jangka pendek dan RM25 bilion bagi jangka panjang.“Dia tengok, saya akan jadi orang kaya, dia `makan cepat-cepat', dia tidak fikir ini tanggungjawab yang berat yang patut dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.Shahrir berkata, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertahanan perlu mencari jalan mendapatkan peruntukan tambahan bagi ‘menyelamatkan' PV1 dan PV2 yang mencapai tahap 95 peratus penyiapannya bagi membolehkannya diserahkan kepada TLDM.

No comments: